Friday, March 28, 2008

PROJEK CENDAWAN MEMBERI PULANGAN BESAR


Disediakan Oleh: Noorbaizura Mohd Saaid - Khidmat RisikanPasaran FAMA N. Sembilan



Cik Zirwatul Isyqi, berusia 26 tahun adalah seorang usahawanita gigih dalam dunia perniagaan cendawan tiram kelabu. Bermula sekitar tahun 2004, memulakan projek cendawan dengan membuat tiga buah rumah cendawan di dalam kebun getah milik keluarganya di Nilai. Berbekalkan modal sendiri sebanyak RM300,000, kini beliau mendapat bantuan pinjaman daripada Bank Pertanian sebanyak RM900,000 untuk membesarkan lagi projek cendawannya. Syarikat perniagaan yang diberi nama Purnama Untung Sdn. Bhd, dikongsi dengan seorang rakan baik beliau. Apa yang membanggakan, semua proses daripada awal penanaman, diikuti penuaian cendawan, pembungkusan, pelabelan, penghantaran dan pemasaran, dilaksanakan sepenuhnya oleh beliau, rakan kongsi dan juga bantuan kakitangan syarikat. Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah jika beliau mampu meraih pandapatan bersih sehingga RM90,000 sebulan. Perkembangan semasa melaporkan, Zirwatul Isyqi telahpun memiliki 30 buah rumah cendawan, dengan setiap rumah mampu menghasilkan sebanyak 30,000 hingga 50,000 polibeg cendawan. Sementara setiap polibeg cendawan pula mampu mengeluarkan 50 gram hingga 100 gram cendawan dan boleh bertahan sehingga 10 kali pengeluaran, bergantung kepada keadaan dan permintaan. Selepas pengeluaran cendawan yang ke 10, polibeg tersebut tidak boleh digunakan lagi. Bahan penutup polibeg ditempah dari kilang plastic berdekatan, sementara ‘bagging machine’ pula diimport dari Taiwan, melibatkan kos sebanyak RM35,000. Cendawan yang sedia untuk dipasarkan, didatangkan di dalam dua pek, iaitu 100 gram dan 250 gram.Harga pasaran runcit bagi cendawan 100 gram adalah RM1.70 manakala bagi pek 200 gram berharga RM3.20. Bagi melicinkan proses pengeluaran cendawan dan memastikan kualitinya, seorang pekerja akan ditempatkan dan bertanggung jawab di setiap rumah cendawan masing-masing Bagi urusan pemasaran, Zirwatul tidak menghadapi masalah kerana syarikat Purnama telah mempunyai pelanggan tetap seperti pasaraya JUSCO di cawangan Seremban, Midvalley Megamall dan Puchong dan pasaraya Giant cawangan Seremban, Tampin, Shah Alam, Ampang Point, The Mines dan Kelana Jaya. Bagi kesempurnaan hantaran, beliau menghantar bekalan kepada pelanggan, menggunakan dua buah ‘cold truck’ milik sendiri. Ditanya tentang sambutan pengguna terhadap cendawan keluarannya, beliau memaklumkan bahawa sambutan yang diterima amatlah menggalakkan, terutamanya dalam bulan ramadhan dan musim perayaan di mana permintaan adalah lebih dari tiga kali ganda. Nasihat beliau kepada mereka yang ingin berkecimpung di dalam dunia perniagaan khususnya perusahaan cendawan, ialah komitmen mesti bagus, tidak mudah putus asa, bijak mencari peluang perniagaan dan paling penting, penjagaan cendawan yang baik dapat menghasilkan cendawan bermutu.
(Ikhsan dari - Cendawan Melaka)

Saturday, March 22, 2008


Friday, March 21, 2008

Ibu tiga anak pengusaha cendawan



Peluang Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) yang ditawarkan oleh majikan tempatnya bekerja tidak dibiarkan begitu saja.Melihat anak-anak yang semakin meningkat remaja dan memerlukan lebih perhatian menyebabkan Zainon Ariffin, 46, tidak berfikir dua kali.Selain menghabiskan masa memantau anak-anak di rumah, bekas penolong pengurus perkhidmatan pelanggan ini mula mengintai peluang perniagaan yang ada dengan menceburi projek menanam cendawan.Walaupun menjalankan kerja-kerja menanam cendawan, beliau masih boleh menghantar dan menjemput anak ke sekolah serta melakukan kerja rumah.Berasal dari keluarga peniaga, Zainon mula menjinak-jinakan diri dengan penanam cendawan sebaik menerima tawaran VSS empat tahun lalu.Tidak seperti orang lain, Zainon telah mendapatkan kontrak membekalkan cendawan daripada CIMA Agro sebelum memulakan penanaman.Memulakan penanaman cendawan tanpa sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kerajaan, Zainon menggunakan duit simpanan semasa bekerja.“Selepas mendapat kontrak barulah saya mula mempelajari bagaimana menanam cendawan daripada ‘tok guru’ saya Normah Ibrahim dari Jabatan Pertanian.“Selain itu saya juga mempelajari kaedah menanam cendawan daripada CIMA Agro, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah program siswazah menganggur dan penanam cendawan lain,”katanya semasa ditemui di ladangnya di Kampung Sekolah, Batang Kali, Selangor.Menanam cendawan kata Zainon, tidak boleh dikatakan mudah kerana ia memerlukan kawasan yang bersih, sejuk dan jauh daripada pencemaran.“Bagaimanapun tanaman ini diprogramkan supaya kita boleh mendapat hasil pada masa yang ditetapkan,” katanya yang sehingga kini masih tidak memohon sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kewangan.Mempunyai dua orang pekerja sambilan dan dibantu oleh ahli keluarga, Zainon memulakan tugas seawal lapan pagi.Tugas mengisi media (campuran habuk kayu, dedak dan sebagainya untuk cendawan membiak) ke dalam polibeg dilakukan oleh pekerja sambilan yang mahir dan dapat mengisi media dalam 1,000 beg sehari.“Sebelum itu saya, suami dan anak sulung akan menyediakan bahan-bahan untuk campuran media berkenaan,” katanya.Selepas polibeg diisi dengan media, ia akan dikukus selama lapan jam bagi membunuh semua organisma mikro yang boleh menyebabkan pencemaran.Proses mengukus polibeg banyak dibantu oleh bapanya yang amat menggalakkan Zainon menanam cendawan sejak awal lagi.Polibeg berkenaan kemudian disejukkan sebelum disuntik dengan benih cendawan yang dibeli daripada pembekal.“Masalah timbul apabila saya tidak mendapat benih yang sesuai bagi menghasilkan cendawan dengan saiz yang diperlukan di pasaran.“Biasanya tugas menyuntik benih cendawan saya serahkan kepada anak bongsu saya yang sekarang ini amat mahir melakukannya,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.Zainon berkata, setiap seorang anaknya walaupun masih bersekolah menengah telah diajar berjinak-jinak dengan industri cendawan.“Ini salah satu cara kami dapat melakukan aktiviti bersama-sama sambil mengeratkan hubungan keluarga kerana menanam cendawan bukanlah satu tugas yang berat,” katanya.Pada masa yang sama Zainon yang juga banyak menerima khidmat nasihat dan bimbingan serta merupakan projek contoh Perintis Agrotech Centre yang sering memberikan kursus berkaitan pertanian.Buat masa ini Zainon mempunyai tiga buah rumah cendawan yang boleh memuatkan sehingga 12,000 polibeg setiap satu.Tidak mahu hanya bergantung kepada pembekal benih cendawan, Zainon bercadang menghasilkan benih sendiri.Minatnya terhadap cendawan membawanya ke sehingga ke selatan Thailand untuk melihat sendiri ladang cendawan dan menimba ilmu di sana.“Saya akan berusaha mendalami ilmu penanaman cendawan bagi memperbaiki kaedah yang ada sekarang,” katanya.Beliau kini dalam usaha mendirikan makmalnya sendiri bagi mengeluarkan benih cendawan selewatnya pertengahan tahun ini.Selain itu, Zainon juga sedang menyediakan tempat latihan bagi mereka yang berminat dengan penanaman cendawan.“Penanaman cendawan bukanlah sesuatu yang mudah dan mereka yang berminat perlu mempunyai pengetahuan mengenainya,” katanya.Berfikiran jauh, Zainon telah memikirkan mengenai lambakan cendawan di pasaran, beliau telah mula mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya.Bekerjasama dengan beberapa orang anak muda yang juga saudaranya, Zainon telah memasarkan produk hiliran cendawan secara kecil-kecilan.“Buat masa ini kami telah menghasilkan begedil, popia inti cendawan, serunding, pau berinti cendawan dan tempura yang mendapat pasaran yang menggalakkan di sekitar bandar Kelang, Selangor.“Apabila industri hiliran mendapat sambutan yang menggalakkan saya bercadang menambah tiga lagi rumah cendawan tahun ini,” katanya yang mendapat geran Groombig dari SIRIM bagi pelabelan dan pembungkusan.Nota: Pn Zainon juga akan mengadakan Kursus Menghasilkan Produk-Produk Berasaskan Cendawan pada 22hn-03-2008 di Bukit Raja, Klang

Friday, March 21, 2008


Friday, March 21, 2008

Bekas mekanik kini pengusaha cendawan

Ahmad Bakri sambut seruan kerajaan tambah bilangan usahawan tani Bumiputera

MARAN: Kemampuan Bumiputera dalam sektor pertanian komersial bukan sesuatu yang baru. Bilangan mereka yang semakin bertambah membuktikan usaha gigih itu mampu menghasilkan pendapatan lumayan jika dilakukan bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun, jumlah mereka yang terbabit dalam industri tanaman cendawan masih kurang menyebabkan seorang bekas mekanik, Ahmad Bakri Ishak, 30, berhasrat mendalami bidang itu secara lebih serius.

Ahmad Bakri berkata, sepanjang terbabit dalam sektor itu tiga tahun lalu, beliau menyedari bahawa pertanian memberi lebih keuntungan jika diusahakan secara lebih praktikal dan bersistematik.

Bersama isteri, Norsailah Mohd Alias, 27, beliau memulakan projek tanaman cendawan di belakang rumah ibunya, Asiah Abdullah, di Felda Bukit Tajau, Maran, selepas melihat dan mengkaji nilai komersial tanaman itu di pasaran tempatan.

Tanpa sebarang kursus dan latihan asas mengenai proses penanaman dan penghasilan cendawan, beliau membuat keputusan membina sebuah rumah cendawan sebagai permulaan dan membeli bahan mentah iaitu habuk kayu getah, dedak ayam halus, kapur pertanian dan mesin pengisar habuk dengan modal permulaan RM4,000.


"Lawatan ke beberapa ladang cendawan di Triang dan Balok berjaya membuka minda saya untuk memulakan perniagaan ini selepas mendapat nasihat pengusaha itu sendiri selain dorongan keluarga.

"Walaupun pada peringkat awal projek, saya hanya memperoleh pendapatan RM400 hingga RM600 sebulan, ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskannya kerana yakin `pertanian adalah perniagaan," katanya.

Ahmad Bakri berjaya meningkatkan pendapatannya kepada RM3,000 sebulan dan mula membuat simpanan untuk membina dua lagi rumah cendawan bagi menampung permintaan pasaran.

Kini, syarikatnya, ABS Bakri Enterprise adalah pengeluar cendawan tiram kelabu yang aktif membekalkan cendawan segar dan bungkah benih cendawan kepada penduduk setempat, pembekal dari luar daerah dan sekitar Maran terutama peniaga kedai makan dan restoran.

Beliau berkata, walaupun permintaan semakin meningkat, pihaknya tidak dapat memenuhinya berikutan kekurangan bahan mentah dan pekerja.

"Ada ketikanya, bekalan benih cendawan kehabisan dan saya terpaksa pergi ke ladang cendawan di Triang untuk mendapatnya dalam kuantiti yang besar, selain membeli habuk kayu getah sehingga 10 tan pada satu-satu masa.

"Benih cendawan dibeli RM5 bagi setiap botol dan boleh diisi dalam 30 bungkah, manakala habuk kayu yang dibeli berharga RM400 bagi setiap 10 tan boleh menghasilkan antara 20,000 hingga 25,000 bungkah," katanya.

Ahmad Bakri memperuntukkan sebahagian besar masanya meneliti bungkah cendawan bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan tidak dicemari bakteria atau kuman, selain ancaman tikus.

Beliau berkata, penjagaan rapi dan penetapan masa penting bagi memastikan kadar pertumbuhannya selari dengan tempoh ditetapkan iaitu antara 40 dan 50 hari bagi kutipan hasil setiap satu pusingan.

"Saya menggunakan modal sendiri menjalankan kegiatan ini kerana tidak mahu dibebani hutang seandainya projek ini gagal.

"Sekarang, saya memiliki sebuah rumah cendawan berukuran 14 x 16 kaki yang boleh memuatkan sehingga 5,000 bungkah cendawan dalam satu masa, sebuah bilik penyediaan bungkah cendawan dan sebuah bekas untuk mengewap bungkah," katanya.

Ahmad Bakri berkata, beliau mampu menjual antara 4,000 hingga 5,000 bungkah cendawan sebulan dan permintaan terus meningkat berikutan orang ramai mula didedahkan dengan kebaikan dan khasiatnya.

"Saya juga membekalkan cendawan segar pada harga RM10 sekilogram, manakala RM1 dan RM1.20 bagi setiap bungkah cendawan," katanya.

Menurutnya, proses pembiakan cendawan tiram kelabu tidak sukar kerana ia memerlukan suhu lembap sekitar 27 darjah celsius dan 90 peratus kegelapan bilik yang sentiasa bertutup untuk membiak cepat dan sihat. Selain itu, lantai rumah cendawan perlu disiram antara satu dan dua kali sehari bagi melembapkan suhu dalam rumah cendawan berkenaan.

"Jika terdedah pada kepanasan matahari, cendawan akan menjadi kecut menyebabkan kualitinya merosot. "Selain itu, bungkah cendawan juga akan rosak jika terkena air dan alah kepada bauan seperti minyak wangi dan asap rokok kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhannya," katanya yang turut mendapatkan maklumat mengenai tanaman cendawan menerusi internet.

Ahmad Bakri berkata, berdasarkan potensi pasaran cendawan, pihaknya sedia membantu mana-mana usahawan yang mahu terbabit dalam sektor itu walaupun diusahakan secara kecil-kecilan. "Kita perlu menyahut seruan kerajaan supaya terbabit dalam sektor pertanian kerana ia mampu memberi pulangan lumayan.

Berdasarkan pengalaman, saya sedia menyalurkan ilmu kepada sesiapa yang berminat, sekali gus pembabitan mereka kelak dapat menampung permintaan cendawan yang semakin meningkat," katanya.

FAKTA5 langkah tanam cendawan;



Membuat bongkah yang menjadi empat tumbuahn itu dibiakkan.
Bongkah dibuat dengan memasukkan habuk kayu getah dan dedak padi halus yang dicampurkan kapur pertanian dalam mesin adunan khas hingga sebati dan dimasukkan dalam bungkusan plastik.
Bongkah perlu ditutup penutup khas dan dimasukkan dalam mesin wap selama hampir lapan jam bagi menghapuskan bakteria.
Bongkah kemudian dibiarkan sejuk selama hampir 48 jam sebelum memasukkan kira-kira sesudu besar benih cendawan tiram kelabu atas bungkah dan ditutup antara empat dan lima hari sebelum dibuka bagi tujuan pembiakannya.
Bongkah cendawan diletakkan atas rak dalam rumah cendawan dan setiap benih yang masuk dicatatkan tarikh bagi memudahkan pengiraan masa dan tempoh cendawan matang.

Saturday, March 1, 2008

Azhar tinggal kerjaya korporat tanam cendawan
(Utusan - 1 Mac 2008)

KUALA SELANGOR 29 Feb. – Seorang akauntan sanggup meninggalkan kerjaya dengan sebuah syarikat korporat terkenal, semata-mata mahu menceburi industri tanaman cendawan dan usahanya itu ternyata berbaloi.

Walaupun tidak sampai setahun memulakan bidang itu, Azhar Abdul Rahman, 47, kini mampu memperoleh pulangan lumayan lebih RM300 sehari hasil tuaian cendawan tiram kelabu yang diusahakannya.

Mengusahakan tanaman di rumah cendawan dengan hanya keluasan 30.5 meter x 12 meter yang mengandungi 30,000 kompos, Azhar mampu mengeluarkan antara 40 kilogram hingga 50 kilogram sehari.

Berkat pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan stabil, hasil cendawannya itu mudah dipasarkan, malah ia masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Berbaloi saya berhenti kerja, selain dapat merasai bagaimana usaha gigih untuk bergelar usahawan dan tidak lagi sekadar makan gaji, saya juga kini mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Oleh itu, saya menggalakkan golongan belia yang berminat, menceburi bidang ini yang ternyata boleh memberikan pulangan lumayan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Bukit Kerayong, Jeram di sini hari ini.

Sehingga kini, dia hanya membekalkan cendawan kepada lima pembeli tetap yang kemudiannya menjual secara terus kepada orang ramai.

“Bayangkan jika saya membekalkan kepada restoran-restoran besar atau pasar raya besar, sudah tentu memerlukan bekalan yang lebih banyak.

“Sehingga kini, bekalan cendawan yang dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha seperti saya masih belum mampu memenuhi permintaan pasaran. Oleh itu, peluang dalam bidang ini sangat cerah sekali,” ujarnya.

Azhar memberitahu minatnya menceburi bidang itu timbul bagi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan rakyat menyertai sektor pertanian bagi menampung keperluan makanan negara.

Dia memilih tanaman cendawan kerana minat yang mendalam selain tidak memerlukan kawasan luas seperti ternakan kambing dan lembu.

Sebaliknya, dengan hanya kawasan yang kecil, rumah cendawan sudah boleh dibina.

Azhar memulakan usahanya itu dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM35,000 hasil simpanan sendiri tanpa perlu membuat pinjaman.

Menurutnya, bagi mendapatkan hasil yang berkualiti, penjagaan kebersihan rumah cendawan perlu diberi perhatian.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tidak ada seekor pun lalat berterbangan di situ walaupun kawasan persekitarannya lembap.

Perhatian yang diberikan terhadap aspek kebersihan juga membolehkan Azhar mampu mengutip hasil sebanyak 12 kali sejak memulakan tanaman cendawan itu Mac tahun lepas.

“Sedangkan kalau menanam cendawan dengan teknik-teknik yang betul, pengusaha boleh mengutip hasil sehingga lapan kali setahun tetapi saya berjaya buktikan dapat mengutip lebih daripada itu,” katanya yang turut menyediakan khidmat kursus kepada mereka yang berminat menceburi bidang itu.