Friday, March 28, 2008

PROJEK CENDAWAN MEMBERI PULANGAN BESAR


Disediakan Oleh: Noorbaizura Mohd Saaid - Khidmat RisikanPasaran FAMA N. Sembilan



Cik Zirwatul Isyqi, berusia 26 tahun adalah seorang usahawanita gigih dalam dunia perniagaan cendawan tiram kelabu. Bermula sekitar tahun 2004, memulakan projek cendawan dengan membuat tiga buah rumah cendawan di dalam kebun getah milik keluarganya di Nilai. Berbekalkan modal sendiri sebanyak RM300,000, kini beliau mendapat bantuan pinjaman daripada Bank Pertanian sebanyak RM900,000 untuk membesarkan lagi projek cendawannya. Syarikat perniagaan yang diberi nama Purnama Untung Sdn. Bhd, dikongsi dengan seorang rakan baik beliau. Apa yang membanggakan, semua proses daripada awal penanaman, diikuti penuaian cendawan, pembungkusan, pelabelan, penghantaran dan pemasaran, dilaksanakan sepenuhnya oleh beliau, rakan kongsi dan juga bantuan kakitangan syarikat. Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah jika beliau mampu meraih pandapatan bersih sehingga RM90,000 sebulan. Perkembangan semasa melaporkan, Zirwatul Isyqi telahpun memiliki 30 buah rumah cendawan, dengan setiap rumah mampu menghasilkan sebanyak 30,000 hingga 50,000 polibeg cendawan. Sementara setiap polibeg cendawan pula mampu mengeluarkan 50 gram hingga 100 gram cendawan dan boleh bertahan sehingga 10 kali pengeluaran, bergantung kepada keadaan dan permintaan. Selepas pengeluaran cendawan yang ke 10, polibeg tersebut tidak boleh digunakan lagi. Bahan penutup polibeg ditempah dari kilang plastic berdekatan, sementara ‘bagging machine’ pula diimport dari Taiwan, melibatkan kos sebanyak RM35,000. Cendawan yang sedia untuk dipasarkan, didatangkan di dalam dua pek, iaitu 100 gram dan 250 gram.Harga pasaran runcit bagi cendawan 100 gram adalah RM1.70 manakala bagi pek 200 gram berharga RM3.20. Bagi melicinkan proses pengeluaran cendawan dan memastikan kualitinya, seorang pekerja akan ditempatkan dan bertanggung jawab di setiap rumah cendawan masing-masing Bagi urusan pemasaran, Zirwatul tidak menghadapi masalah kerana syarikat Purnama telah mempunyai pelanggan tetap seperti pasaraya JUSCO di cawangan Seremban, Midvalley Megamall dan Puchong dan pasaraya Giant cawangan Seremban, Tampin, Shah Alam, Ampang Point, The Mines dan Kelana Jaya. Bagi kesempurnaan hantaran, beliau menghantar bekalan kepada pelanggan, menggunakan dua buah ‘cold truck’ milik sendiri. Ditanya tentang sambutan pengguna terhadap cendawan keluarannya, beliau memaklumkan bahawa sambutan yang diterima amatlah menggalakkan, terutamanya dalam bulan ramadhan dan musim perayaan di mana permintaan adalah lebih dari tiga kali ganda. Nasihat beliau kepada mereka yang ingin berkecimpung di dalam dunia perniagaan khususnya perusahaan cendawan, ialah komitmen mesti bagus, tidak mudah putus asa, bijak mencari peluang perniagaan dan paling penting, penjagaan cendawan yang baik dapat menghasilkan cendawan bermutu.
(Ikhsan dari - Cendawan Melaka)

1 comment:

rian said...

Tahniah di atas kejayaan. Semoga ramai mempunyai semangat gigih anda